Friday, March 18, 2011

khutbah jumaat

Alhamdulillah, hari ini (18 Mac 2011) saya sekali lagi diberi kesempatan oleh pihak masjid untuk menyampaikan khutbah Jumaat dan tajuk khutbah yang saya bawakan adalah berkaitan dengan bencana Tsunami yang melanda negara Jepun baru-baru ini. Atas permintaan rakan-rakan, berikut saya kemukakan teks khutbah yang dimaksudkan. Moga-moga bermanfaat buat semua.

Nota: Diizinkan untuk mengambil teks ini bagi tujuan khutbah atau risalah edaran. Walau bagaimanapun beberapa teks arab bagi ayat-ayat suci al-Quran tidak dapat dikemukakan di sini. Maka disarankan kepada rakan-rakan yang ingin menggunakan teks ini bagi tujuan khutbah supaya menyalin sendiri teks arab bagi ayat-ayat al-Quran berkenaan.

BENCANA TSUNAMI

Disediakan oleh: Mohd Hairi Nonchi

(Dimulai dengan khutbah al-Haajah)

Ma’asyiral Muslimina rahimakumullah,

Marilah kita ungkapkan rasa syukur kita ke hadrat Ilahi Rabbi, yang telah melimpahkan Rahman dan Rahim-Nya kepada kita sekalian. Semoga dengan segala kenikmatan yang dikurniakan-Nya kepada kita akan dapat meningkatkan lagi rasa syukur dan taqwa kita kepada-Nya.

Jemaah Jumaat yang berbahagia,

Sesungguhnya bala bencana yang menimpa umat manusia, sejak dari dulu hinggalah ke hari ini, merupakan peringatan dan ujian yang didatangkan oleh Allah s.w.t kepada para hamba-Nya, sama ada yang beriman mahupun ke atas mereka yang tidak beriman kepada-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya dalam surah ar-Rum, ayat 41.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Ttimbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Bencana tsunami dan gempa dengan kekuatan 8.9 skala Ritcher yang berlaku pada 11 Mac 2011 di Honshu dan Sendai, di Jepun baru-baru ini, adalah merupakan salah satu daripada pelbagai bencana besar yang pernah menimpa umat terdahulu. Bencana yang melanda negara matahari terbit itu juga secara tidak lansung mengingatkan kepada kita akan bencana Tsunami yang turut melanda beberapa negara di Asia Tenggara pada 26 Disember 2004 lalu yang telah mengorbankan ratusan ribu mangsa, memusnahkan tanam-tanaman, harta benda dan sebagainya.

Bagi umat Islam yang beriman, sesuatu peristiwa yang berlaku seharusnya dilihat dan dinilai menurut kacamata keimanan. Apa yang amat kita takuti adalah apabila sesuatu bencana itu ada kaitannya dengan azab yang diturunkan oleh Allah s.w.t untuk ditimpakan ke atas para hamba-Nya yang ingkar dan mungkar.

Jemaah Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t.

Bagi mereka yang tahu sejarah atau rajin menelaah ayat-ayat al-Quran, pastinya tidak merasa terkejut dengan malapetaka gempa bumi dan ombak besar tsunami yang melanda umat manusia ini. Ini kerana amaran turunnya azab Allah seumpama Tsunami ini telah banyak diperingatkan dalam kitabullah. Malah, malapetaka banjir besar seumpamanya pernah berlaku di zaman Nabi Nuh a.s seperti yang terakam dalam surah al-Haqqah, ayat 11 dan 12. Firman-Nya:

“Sesungguhnya kami, - ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang) telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya). (Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran.”

Jadi adalah jelas kepada kita bahawa bencana ombak besar atau banjir bukanlah satu perkara yang baru. Pelbagai malapetaka dahsyat telah menimpa umat terdahulu. Musibah itu diturunkan adalah bagi mengazab kaum yang kufur (ingkar) terhadap perintah Allah, sekaligus memperlihatkan kekuasaan dan kebesaran-Nya yang Maha Mencipta dan mentadbir sekalian alam.

Jemaah Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t.

Pasti sahaja setiap kejadian dan peristiwa yang berlaku ada rahsia dan hikmahnya di sisi Allah s.w.t untuk dijadikan pengajaran dan peringatan kepada umat manusia, khususnya kepada orang-orang yang beriman sebagaimana firman-Nya:

“Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta”. (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Justeru, bencana Tsunami ombak besar dan dahsyat dengan anggaran kekuatan sekuat tenaga atom dan ketinggian 10 meter serta gempa bumi yang melanda di Jepun baru-baru ini telah menyebabkan jumlah kematian dan kecederaan mencecah ribuan orang serta kemusnahan harta benda yang tidak ternilai. Bagi umat Islam yang beriman, semua itu menjadi iktibar, peringatan dan ujian yang berguna yang akan meningkatkan lagi keinsafan dan keimanan mereka kepada Allah s.w.t betapa Allah Maha Berkuasa dalam mencipta atau mengadakan sesuatu mengikut kehendak-Nya.

Jemaah Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t.

Allah s.w.t yang menciptakan alam semesta dan segala isinya, dengan sifat rahman dan rahim-Nya serta melimpahkan pula pelbagai nikmat-Nya di langi dan di bumi. Namun Allah s.w.t juga memiliki sifat Maha Perkasa dan Maha Dahsyat azab siksa-Nya terhadap para hamba-Nya yang kufur lagi derhaka serta berlaku sombong terhadap-Nya. Oleh itu, beringat-ingatlah kita dalam suasana masyarakat kita, khususnya di Sabah, yang bergelumang dengan pelbagai maksiat dan kemungkaran, seperti berzina, meminum arak, bermain berjudi dan juga sebagainya.

Apa yang lebih membimbangkan kita adalah apabila kita menyaksikan kemungkaran dalam akidah kian berleluasa yang mana tidak sedikit masyarakat kita hari ini yang masih bergelumang dengan amalan-amalan khurafat, tahyul serta syirik seperti bertemu bomoh atau tukang ramal, meminta doa kepada orang yang telah mati, menjalankan ritual mandi tolak balak di bulan safar, memakai tangkal (azimat) dan lain-lain seumpama.

Jika kemungkaran-kemungkaran ini terus berleluasa dan sekiranya Allah s.w.t menurunkan azab-Nya, maka pastilah azab itu akan menimpa masyarakat seluruhnya. Allah s.w.t menegaskan di dalam al-Qur’an al-Karim:

“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)." (Surah al-Baqarah, ayat 165).

Firman-Nya lagi dalam ayat yang lain:

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) Yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). dan ketahuilah Bahawa Allah Maha berat azab seksaNya”. (Surah Al-Anfal, ayat 25)

Dalam sebuah hadith pula, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, sedia dijelaskan bahawa Zainab binti Jahsy r.a pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w yang bermahfum: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa juga sedangkan ada di antara kami orang-orang yang masih berbuat baik (dengan mengerjakan amal soleh)? Rasulullah s.a.w menjawab: “Ya, apabila telah melata (berleluasanya) kejahatan.”

Dan Khalifah Umar bin ‘Abdul Aziz r.a pernah berkata: “Bahawa sesungguhnya Allah s.w.t tidak mengazab orang ramai dengan sebab perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang perseorangan. Tetapi kalau maksiat dilakukan secara terang-terangan sedangkan mereka (orang ramai) tidak mengingatkan maka keseluruhan kaum itu berhak mendapat siksa.”

Jemaah Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t.

Seperti yang ditegaskan oleh Allah s.w.t bahawa kesemua peristiwa yang dahsyat sama ada yang terakam di dalam kitab-Nya mahupun yang berlaku pada zaman mutakhir ini merupakan satu peringatan bagi seluruh manusia yang masih hidup. Tegasnya, setiap musibah yang menimpa manusia mempunyai hikmahnya yang tersendiri di samping memperingatkan manusia bahawa apa jua malapetaka yang melanda adalah natijah atau kesan daripada perbuatan mereka sendiri. Perkara ini dijelaskan oleh Allah s.w.t menerusi firman-Nya dalam surah asy-Syura, ayat 30:

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah. - sebagai Pelindung atau pemberi pertolongan.”

Sehubungan dengan itu, sebagai langkah bagi mengelakkan diri, keluarga dan masyarakat kita daripada dilanda bencana, sebaiknya kita bersegera bertaubat dari segala kemungkaran yang telah kita lakukan, dan di waktu yang sama hendaklah pula kita berganding bahu mempergiatkan usaha amar makruf nahi mungkar kerana dengan usaha ini kita akan mendapat perlindungan daripada Allah, di dunia mahupun di akhirat kelak. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلاَ يُسْتَجَابُ لَكُمْ.

“Demi yang diriku berada di Tangan-Nya, hendaklah kamu menganjurkan kebaikan dan melarang kemungkaran atau (jika kamu tidak melaksanakannya) nyaris Allah akan mengirimkan azab-Nya ke atas kamu. Kemudian kamu berdoa akan tetapi ia tidak dimakbulkan (oleh Allah) kepada kamu.” (Hadith at-Tirmidzi dalam Sahih Sunan at-Tirmidzi, no. 2169).

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ وَهُوَ الْقَتْلُ حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمُ الْمَالُ

فَيَفِيضُ

“Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehingga digenggam ilmu, dan banyaknya gempa bumi, dan mendekatnya masa, dan munculnya huru-hara, dan berleluasanya bencana, dan ia ialah pembunuhan, sehingga banyaknya dalam kalangan kamu harta, dan ia melimpah-ruah”. (Hadith riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, no. 1036).

Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula saling berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ بِالْقُرْآءَانِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِىْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الْأَيَاتِ وَالذَّكْرِالْحَكِيْمِ. وَتَقَّبلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلَاوَتَهُ إِنَّهَ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.َقُوْلُ قَوْلِ هَذَا وَ اَسْتَغْفِرُاللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَافَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَانَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

No comments:

Post a Comment