Sunday, February 22, 2009

~terkedu~

SAKIT...Hassan dan isterinya mengharap simpati orang
ramai meringankan kos rawatan Hairuddin.

MARANG: Hati ibu mana tidak sedih apabila anak dikandung selama sembilan bulan dilahirkan tidak cukup sifat dan mengikut perkiraan doktor hayatnya hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga tahun.

Bagi Ruhani Sulaiman, 39, selagi hayatnya masih ada, anak bongsunya Hairuddin Hassan, 11 bulan, yang menderita sakit jantung berlubang dan tiada dubur untuk membuang najis, akan tetap dijaga dengan penuh kasih sayang walaupun kehidupan mereka sekeluarga serba kekurangan.

Lebih memilukan, Hairuddin yang disahkan mengalami Sindrom Down kini terpaksa bergantung sepenuhnya pada beg plastik najis untuk membuang air besar selain berdepan pelbagai kemungkinan lain.

Ruhani berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu bukan saja memerlukan penjagaan rapi setiap masa, malah kos rawatannya juga tinggi.



“Kami menghabiskan ratusan ringgit untuk beg plastik najisnya saja. Itu belum termasuk kos rawatan dan belanja lain seperti lampin pakai buang dan makanan cecair kerana Hairuddin tidak boleh minum susu.

“Kami tidak dapat menganggarkan jumlah sebenar kos diperlukan Hairuddin kerana keadaan kesihatannya tidak menentu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Madah, Rawai, di sini, semalam.

Menurutnya, Hairuddin sering menangis pada waktu malam apabila ingin membuang air besar dan ada ketikanya beg najis anaknya terpaksa ditukar lebih daripada dua kali sehari setiap kali terjaga.

“Walaupun sebak selepas dimaklumkan dia hanya mampu hidup tiga tahun oleh doktor di Institut Jantung Negara (IJN), kami tidak berputus asa dan berikhtiar dengan apa cara bagi mencari penawar.

“Sebagai ibu bapa, memang kami sukar menerima hakikat ini, tetapi tetap berdoa dan bertawakal supaya Hairuddin sihat dan panjang umur, tetapi jika ditakdirkan sebaliknya, kami reda kerana itu adalah ketentuan Tuhan,” katanya.

Menurutnya, penyakit dialami Hairuddin memerlukan dia menjalani pemeriksaan dua bulan sekali di hospital dan memerlukan kos rawatan tinggi.

Bapa kanak-kanak itu, Hassan Awang, 44, berkata dia sayang anak bongsunya dan tidak rela kehilangannya.

Katanya, walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi sumbangan sebanyak RM300 sebulan, ia tidak mencukupi dan hanya mampu menampung sebahagian kecil perbelanjaan harian anaknya.

Tambahan pula, dia hanya bekerja sebagai pembantu di kedai peralatan pejabat dan gajinya tidak mampu menanggung kos rawatan yang tinggi.

“Saya runsing memikirkan bagaimana untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung segala perbelanjaan ini. Semoga ada pihak sudi membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Hassan di talian 012-9582007 atau mengunjungi kediamannya di 668-A, Kampung Pak Madah, Rawai. Sumbangan juga boleh dihulurkan terus ke Hassan menerusi akaun Maybank 113015108193.


p/s: ermm..runtun hati ibu bc berita nie:(

Semoga mereka tabah n sabar.Semuanya adlah ketentuan dari Yang Maha Esa

sama2la kita mmbntu sekadar yg termampu dan sama2 berdoa utk kesejahteraan mereka sekeluarga.

No comments:

Post a Comment